Rupa dan Gaya – Adikarya Kemegahan Busana Melayu

Buku Rupa dan Gaya: Busana Melayu karya Azah Aziz merupakan sebuah adikarya mengenai tekstil dan busana tradisional Melayu.Ia diterbitkan buat pertama kalinya pada tahun 2006 oleh Universiti Kebangsaan Malaysia. Buku ini melampaui pengisahan tentang aneka jenis tekstil dan busana, dan turut membincangkan identiti kebudayaan Melayu, estetika, serta saling kait antara tradisional dengan moden. Dalam buku ini, Azah Aziz menghadiahkan permata yang tidak ternilai harganya, untuk kita mengenali dan memahami peri penting budaya dan sejarah tekstil dan busana Melayu.

Azah ingin merakam dan mentafsirkan budaya Melayu dengan menegaskan bahawa tekstil dan pakaian adalah pantulan nilai budaya, struktur sosial, dan sejarah seseorang. Judul buku yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai Malay Textiles and Costumes: Form and Style ini kena dengan matlamatnya, iaitu untuk memberi tumpuan terhadap aspek luaran atau “rupa” dan aspek estetika atau “gaya” pakaian tradisional.

Sebuah Kajian Meluas Tentang Tekstil dan Busana Melayu

Rupa dan Gaya: Busana Melayu merupakan sebuah buku tentang sejarah, estetika, fesyen, dan antropologi budaya. Azah memperincikan sebuah naratif bagi pelbagai jenis tekstil, busana diraja yang gemilang, pakaian harian dan istiadat, sekaligus menerangkan tentang fungsi, perlambangan, serta proses perkembangannya. Dengan gaya penulisannya yang seimbang antara gaya penulisan cendekiawan dengan gaya penulisan awam, buku ini sesuai ditelaah oleh sesiapa sahaja yang berminat dengan alam tekstil Melayu.

Dalam Rupa dan Gaya, khazanah tekstil dan pakaian Melayu tampak memiliki serinya yang tersendiri. Azah meneliti beraneka jenis tekstil Melayu—termasuklah songket, limar, ikat, limar songket, batik, dan pelbagai kain tenunan serta kain-kain perhiasan seperti telepuk, kelingkan, dan pelbagai kain sulam—sekaligus menyerlahkan sejarah, teknik, dan kehalusan estetikanya. Kajian beliau menggagaskan bahawa kain songket, limar, dan limar songket adalah kemuncak bagi seni tekstil Melayu. Kehalusan yang dimiliki oleh ketiga-tiga jenis kain ini tiada tolok bandingnya. Buku ini mempersembahkan wajah warisan tekstil Melayu yang kaya dan beraneka sifatnya, dan dalam masa yang sama mengangkatnya sebagai sebuah tradisi hidup yang terus berkembang. 

Azah menyelami pelbagai jenis tekstil Melayu dari pelbagai negeri dan mengetengahkan keunikan tradisi kain masing-masing. Beliau meneliti kain songket Terengganu dan Kelantan yang dihiasi dengan corak-corak benang emas, serta kain-kain langka dari Pahang dan Riau–Lingga yang memiliki pengaruh seni Bugis dan Minangkabau. Azah memberi tumpuan khusus terhadap kain limar, iaitu sejenis kain ikat yang dipakai oleh kerabat diraja Melayu. Penelitian beliau menelusuri perkembangan kain batik di alam Melayu. Beliau membezakan antara teknik batik cap, batik skrin, dan batik canting, serta menjelaskan perbezaan antara kesenian Melayu dengan kesenian dari Indonesia. Selain itu, Azah juga melihat hubungan serta peranan yang dimainkan oleh istana dalam menghidupkan tradisi tekstil, khususnya penglibatan para penenun dalam menghasilkan pakaian istiadat.

Kain batik kain tenunan,
Songket berantai dalam almari;
Sama cantik samalah padan,
Sudah pun dapat idaman hati.

Antara aspek yang paling menarik dalam buku ini adalah aspek sejarahnya. Azah mempertitih jalur keturunan tekstil dan busana Melayu sejauh India, China, Timur Tengah, dan juga rantau Nusantara. Beliau menghuraikan bagaimana segala pengaruh luar ini disulam ke dalam budaya Melayu sementara melahirkan jati dirinya sendiri. Lewat laluan perdagangan, alam Melayu berkenalan dengan pelbagai jenis kain, termasuklah kain ikat ganda patola dari tanah India. Di sini, kain tersebut dikenali dengan nama cindai. Kain cindai menjadi kain yang sangat disanjung sehinggakan keanggunan dan nilai kebatinannya disebutkan di dalam hikayat-hikayat Melayu seperti Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah

Azah banyak memberi tumpuan terhadap pelbagai motif yang terdapat di dalam tekstil Melayu. Jenis-jenis kain—baik songket, batik, atau tenunan—serta kehalusan rekaan selalunya mencerminkan unsur sosial, asal-usul, malah kepercayaan si pemakai. Beliau meneliti corak-corak seperti pucuk rebung dan awan larat yang sangat berkait rapat dengan kosmologi, pandangan alam, dan estetika Melayu. Azah turut memberi penekanan terhadap penggunaan warna dalam tekstil Melayu. Terdapat lebih daripada seratus jenis warna dengan pelbagai nama daripada alam semulajadi. Hal ini sekaligus mencerminkan wujudnya hubungan rapat antara para penenun tekstil Melayu dengan alam sekeliling. Nama Melayu bagi warna-warna khusus juga ada nilai puitisnya—ada kuning langsat, merah delima, hijau pucuk pisang, biru nila, merah lemak ketam, awan ungu senja, putih bayangan bulan. 

Azah meneroka pelbagai jenis teknik yang digunakan dalam menghasilkan kain tradisional Melayu dengan melihat kepada seni dan kemahiran si perekanya. Kerja tangan ini bukan sahaja terserlah pada kain-kain tenunan, malah pada kehalusan seni sulaman kelingkan yang menggunakan benang logam pipih bagi menghasilkan kesan kemilau pada corak-coraknya. Ini adalah bukti kehalusan kerja tangan masyarakat Melayu. Tidak terkecuali teknik gerus yang melibatkan gosokan pada kain bagi menghasilkan kilauan, serta telepuk, iaitu sejenis teknik yang menggunakan serbuk atau kertas emas turut menjadi lambang kepada keaslian tradisi tekstil Melayu.

Dalam buku Rupa dan Gaya, Azah Aziz juga memberi penerangan terhadap pemakaian pelbagai jenis aksesori dan hiasan kepala. Beliau menerangkan tentang status, asal-usul, dan peri penting tengkolok dan pelbagai lagi perhiasan kepala tradisional. Aksesori seperti kerongsang, pending, cucuk sanggul, dan gelang bukan sekadar perhiasan, tetapi juga lambang kehalusan dan budaya. Azah menjelaskan bagaimana setiap unsur yang ada memainkan peranan penting dalam menghasilkan busana Melayu yang bermakna dan harmoni sifatnya.

Buku ini meneroka tentang bagaimana pakaian menjadi sebuah cerminan kepada peranan si pemakai dan tingkat sosial dalam budaya Melayu. Azah memperincikan pakaian lelaki dan pakaian perempuan, misalnya baju Melayu lelaki dan baju kurung atau kebaya bagi perempuan. Bagi beliau, pakaian-pakaian ini menyerlahkan kesopanan, keanggunan, kesesuaian, dan selari dengan adat dan ajaran agama. Azah juga menyerlahkan kekayaan tradisi pakaian Melayu dengan menampilkan pelbagai jenis busana yang dimiliki oleh pelbagai kelas masyarakat dan rantau.

Antara perkara menarik tentang buku ini adalah penggunaan pantun dan petikan-petikan daripada hikayat. Unsur-unsur sasterawi ini sudah tentunya menyerlahkan peranan budaya dan perlambangan dalam tekstil dan busana Melayu. Keindahan lenggok bahasa pantun menjadi penghubung antara kecantikan luaran busana Melayu dengan nilai-nilai dalamannya seperti kerendahan hati, budi bahasa, dan persaudaraan. Petikan-petikan daripada hikayat pula menawarkan latar sejarah dan mitologi, sekaligus meletakkan tradisi tekstil dan busana Melayu di dalam naratif identiti dan estetika yang lebih mendalam. Dengan menyulam puisi dan hikayat, Azah memberikan kita pemahaman yang menyeluruh tentang budaya Melayu—tempat puisi, seni, dan kehidupan harian terjalin.

Benang Kesinambungan

Selain mengetengahkan kekayaan tekstil dan busana tradisional Melayu, buku ini turut menyenaraikan pelbagai cabaran kemodenan dalam memelihara segala kekayaan ini. Azah menjelaskan tentang peri penting usaha pemindahan dengan menggalakkan generasi yang lebih muda untuk menjaga dan mengangkat warisan budaya mereka. Beliau juga mengetengahkan pelbagai usaha pemeliharaan kraf tradisional yang ada pada hari ini, seperti tenunan tangan dan jahitan busana tradisional, demi melestarikan warisan tekstil dan busana Melayu.

Hubungan rapat yang terjalin antara Azah dengan tekstil dan busana Melayu, menjadikan  buku ini berbeza dengan buku-buku lain. Beliau banyak merenung dan menceritakan kisah peribadi bagi membawa pembaca merasai budaya Melayu. Dengan nada yang luhur dan penuh semangat, Azah berkongsi kenangan tentang pelbagai istiadat budaya Melayu. Sesekali, beliau mengenang kembali kisah-kisah sewaktu beliau giat mengumpulkan pelbagai jenis kain lama dan busana klasik. Sentuhan peribadi seperti ini menjadikan buku ini bukan hanya sebuah buku akademik, tetapi juga sebuah sajak buat memuja kekuatan dan keindahan tradisi Melayu. 

Busana penari tarian gamelan ini adalah antara yang tercantik.

Buku Rupa dan Gaya banyak memberi pengaruh terhadap kajian budaya dan usaha pemuliharaan warisan di Malaysia sejak pertama kali ia diterbitkan. Sifat kesarjanaan dan kekuatan visual yang ditawarkannya sudah berjaya menawan pembaca dan mencetuskan minat baru terhadap pakaian tradisional Melayu. Para pereka, pendidik, dan penggiat budaya pada hari ini juga sudah mula mengambil manfaat daripada buku ini dalam melakar semula warisan busana Melayu dalam konteks semasa. 

Rupa dan Gaya juga telah berjaya meletakkan budaya Melayu di mata dunia. Dengan merakam dan mentafsirkan tekstil dan busana Melayu secara menyeluruh, malah mudah dibaca, Azah sekaligus telah menjadikannya bagaikan seutas benang dalam warisan busana dunia yang lebih luas. Buku ini sesuai untuk dijadikan rujukan para sarjana antarabangsa, kurator muzium, dan peminat tekstil sedunia. 

Hujan panas kemarau embun,
Keluar ke padang menjemur padi;
Tuan umpama kunang-kunang sekebun,
Sebagai syamsu bersinar pagi.

Cik Dayang berkain kelubung,
Jalan seorang ke pekan sari;
Putus benang boleh disambung,
Patah arang sudah sekali.

Kalau sehari selembar benang,
Lama-lama menjadi kain;
Sehari-hari saya terkenang,
Ingatan tidak pada yang lain.

Pusaka Abadi

Pusaka Azah Aziz tidak hanya terbatas pada Rupa dan Gaya. Karya-karya beliau sudah banyak memberi ilham kepada ramai orang. Beliau sudah merintis jalan buat generasi akan datang. Dalam zaman globalisasi dan homogenisasi budaya ini, nasihat beliau tentang pentingnya asal-usul dan kelestarian budaya adalah amat perlu dan penting. 

Rupa dan Gaya: Busana Melayu bukan sekadar sebuah buku; ia merupakan pusaka yang menyimpan intipati warisan dan jati diri Melayu. Dengan kajian yang beliau jalankan, Azah Aziz telah membuka sebuah gerbang tekstil dan busana Melayu, serta menyerlahkan dimensi sejarah, sosial, dan estetikanya. Kerja-kerja yang beliau lakukan merupakan wasiat kekayaan budaya Melayu dan peri penting usaha pemeliharaan warisan bersama. Bagi mereka yang ingin mengenali jiwa Melayu, Rupa dan Gaya adalah bukunya. Di sini, sejarah, seni, dan masyarakat seperti benang yang terjalin indah.

RESPLENDENT RAIMENT OF CIK SITI WAN KEMBANG

Cik Siti Wan Kembang reigns Queen of a blessed land:

Tanah Serendah
Sekebun Bunga
Cerang Tegayung

A lowland clearing
With flower gardens
Lit by dappled sunlight
Filtered through Tegayong trees

Cik Siti Wan Kembang with kemban worn high
Silk limar shoulder cloth clings to her supple skin
Songket in kesumba red with scattered flowers
Tied with elegant fern-like folds
Its ends falling to an oblique point
Almond shaped buckle of pure fine gold
Studded with rubies and gems
A winged breastplate pendant upon her chest
Anklets of dragons in combat
A sparkling tiara of gold and precious jewels

On one side of her coiffure gold floret chains drape
With an orchid ornamenting the ear
The ring in turn has nine coloured gemstones
With the jewels twinkling on her fingers
Garam sebubu, a large sparkling solitare diamond

In her right hand is
The keris of state

Such is her priceless beauty beyond compare
Stirring melancholic longing of all in sight

Kalau tuan pergi ke bendang,
Jangan petik buah rembia;
Tuan umpama bulan mengambang,
Cahaya meliput serata dunia.

If My Lord to the rice fields you do go,
The palm fruit do refrain from picking;
Like the moon, My Lord does brilliantly glow,
Across the globe ever radiantly shining.

From silk is thread made,     
From thread is cloth made,     
Patterns of exceptional beauty,
Scattered with eight petalled rosettes,
Swirling waters and shifting stars.

Patterns of jong sarat, teluk berantai,
Bamboo shoots, a grand sight to see,
Songket cloth with lustrous designs,
From nature’s wide universe are,
These wondrous inspirations drawn.

Songket limar awannya cemerlang,
Pakaian raja zaman dahulu;
Tuan laksana bulan mengambang,
Cahaya menusuk ke dalam kalbu.

Naik ke darat ke Paya Padang,
Bunga kenidai bunga kenanga;
Jong sarat sudahlah pulang,
Teluk Berantai ada gantinya.

Pisang emas di tepi telaga,
Masak sebiji mari ku rasa;
Tuan emas sahaya tembaga,
Campur gaul jadi suasa.