Lebah bersarang di rumpun buluh,
Penuh dengan segala manisan;
Sembah menyusun jari sepuluh,
Sirih bertepak hamba hulurkan.

Tinggi bukit gilang gemilang,
Air laut tenang-tenangan;
Budi tuan tidakkan hilang,
Tetap abadi dalam kenangan.

Azah Aziz: Pengaruh Warisan Budaya Melayu

Potret Azah Aziz

Azah Aziz berusia sekitar 10 tahun bersama ibunya (duduk di sebelah kanan) di Sekolah Ilmu Sains Domestik di Johor Bahru pada tahun 1930-an.

Azah Aziz (1928–2012), atau yang dikenali dengan panggilan Tita dalam kalangan keluarga tersayang, adalah seorang tokoh  yang luar biasa. Beliau merupakan seorang wartawan, penulis buku kanak-kanak, pejuang hak wanita, dan budayawan yang banyak mencurahkan tenaganya terhadap kerja-kerja pemeliharaan warisan. Azah membesar dalam cahaya bimbingan ibunya, Azizah Jaafar, yang mengajarnya erti pendidikan, kerja sosial, dan pemeliharaan warisan budaya. Cintanya terhadap warisan juga berakar dalam hubungan erat dengan suaminya, Profesor Diraja Ungku Aziz, yang menjadi sahabat dan pendamping setia dalam perjalanan hidupnya.

Azah Aziz lahir dan dibesarkan dalam keluarga bangsawan Johor. Ibunya, Azizah Jaafar (1898–1974), merupakan seorang tokoh pendidikan. Beliau percaya bahawa pendidikan adalah jalan bagi pemerkasaan. Hal ini terbukti melalui Sekolah Ilmu Sains Domestik (Domestic Science Studies) yang beliau tubuhkan khas untuk kaum wanita luar bandar. Semangat dan segala kemahiran yang dimiliki ibunya—seperti mengait dan menjahit—sedikit sebanyak meresapi dirinya. Ibunya banyak menyimpan kain tradisi Melayu yang langka sehingga menarik minat Azah untuk meneroka alam tekstil dan busana tradisional, sekaligus menanam benih untuk masa depannya sebagai seorang pejuang budaya.

Azah seorang ahli aktif Pandu Puteri.

Kesungguhan Azah dalam menimba ilmu tidak pernah pudar walaupun terpaksa menempuhi Perang Dunia II. Pada tahun 1946, beliau berkahwin dengan Ungku Aziz (1922–2020), pujangga dan ahli ekonomi tersohor yang turut memiliki minat yang mendalam dengan seni, bahasa, dan budaya Melayu. Perkahwinan mereka bukan sekadar sebuah penyatuan, tetapi juga sebuah kerjasama dalam aspek intelek dan tradisi, bagi menyemai khazanah budaya Malaysia.

Perkembangan intelektual Azah memasuki lembaran baru apabila beliau bertemu dengan Zainal Abidin Ahmad (1895–1973), atau lebih dikenali sebagai Pendeta Za’ba. Azah bersetuju untuk bekerja sebagai pembantu Za’ba di Jabatan Kajian Melayu Universiti Malaya Singapura dengan syarat beliau dibenarkan untuk mengikuti syarahan-syarahan yang disampaikan oleh Za’ba. Za’ba bersetuju dengan syarat tersebut. Maka, selama empat tahun Azah meneroka alam sastera Melayu, baik yang klasik mahupun moden, melalui syarahan-syarahan cendekiawan ulung itu. Dengan bimbingan Za’ba, Azah terpesona dengan keindahan dan kehalusan bahasa Melayu sehingga menguatkan lagi semangatnya untuk menjaga kekayaan warisan sastera bahasa Melayu.

Azah bermain piano sementara ibunya mendengar.

Bersama para wartawan. Di kirinya ialah pelukis Ibrahim Hussein. Di kanannya ialah Zaharah Nawawi, pengarang biografi Azah, Kartika di Langit Seni.

Perkahwinan dengan Ungku Aziz pada tahun 1946 di Johor Bahru.

Lima orang wartawan bersiap sedia menaiki penerbangan ke London untuk menyertai program selama sebulan.

Guru dan murid-murid sekolah melawat pejabat akhbar, Azah duduk di mejanya dengan mesin taipnya.

Selepas bekerja dengan Za’ba, Azah menceburi bidang kewartawanan dengan menjadi penulis dan penyunting untuk akhbar-akhbar terkemuka seperti Berita Harian dan Utusan Malaysia. Selama hampir empat dekad beliau menulis tentang hal ehwal budaya dan mengetengahkan pelbagai cabaran masyarakat melalui penulisan yang mengaduk aspek kreatif dan analisis. Pengalaman dan pemerhatian beliau ketika mengembara ke semerata tempat menambahkan lagi daya tarik tulisan-tulisan beliau tentang tokoh-tokoh dunia seperti Indira Gandhi, Muhammad Ali, dan angkasawan wanita pertama, Valentina Tereshkova. Azah juga banyak memberi pengaruh kepada bakat-bakat tempatan termasuklah kartunis Lat. Beliau memperjuangkan kebenaran dan keadilan dengan menggunakan pen sebagai senjata. Beliau tidak gentar untuk menulis tentang perkara-perkara yang kadangkala sukar untuk ditelan oleh sebahagian pembaca.

Perjuangan Azah terhadap hak-hak kaum wanita juga tidak kurang besarnya. Beliau pernah berjuang menuntut gaji yang adil, perubahan dalam undang-undang keluarga Islam, dan cukai berasingan untuk suri rumah yang bekerja. Azah juga bersama-sama membangunkan pertubuhan-pertubuhan seperti Persatuan Tindakan Wanita Islam (pertiwi), Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (pertama), dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (pena), sekaligus mengangkat suara-suara wanita. Kerja-kerja yang beliau lakukan menjadi inspirasi kepada ramai wanita untuk menjadi lebih berdikari. 

Di kampus Universiti Pennsylvania bersama anaknya Zeti, pada tahun 1974.

Selaku pembicara di pelbagai acara, termasuk di peringka serantau.

Potret Azah Aziz pada usia 30-an yang ditangkap pada tahun 1960-an.

Azah Aziz dan suaminya, Prof. Ungku Aziz, muncul dalam artikel Nya Pressen, sebuah akhbar Sweden, semasa lawatan ke Helsinki pada tahun 1950-an.

Namun, tumpuan utama Azah adalah pada hal-hal kebudayaan. Sebagai seorang Tokoh Budayawan Melayu, beliau mengabdikan dirinya kepada kerja-kerja memelihara adat tradisi Melayu. Kajian beliau tentang tekstil Melayu, tenunan, dan pakaian tradisional adalah sangat
terperinci dan telah diterbitkan dalam bentuk buku dengan judul Rupa dan Gaya: Busana Melayu (2006). Ia telah di-terjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul Malay Textiles and Costumes: Form and Style. Ramai sarjana dan peminat budaya Melayu dari seluruh dunia menjadikan buku ini sebagai rujukan.

Sebanyak 240 lembar kain dan busana Melayu dan 69 bentuk barang kemas tradisional milik Azah Aziz telah dihadiahkan kepada Muzium Tekstil Merdeka. Hal ini untuk memastikan bahawa segala usaha yang dilakukan oleh Azah dalam memelihara salah satu aspek penting identiti budaya Malaysia terus bermanfaat kepada generasi akan datang.

Minat Azah terhadap busana Melayu tidak hanya dalam bentuk kesarjanaan; beliau turut sama menghidupkan semula seni tenunan, songket dan limar, sulaman, dan telepuk, sambil mengetengahkan peri penting seni-seni tersebut dalam identiti budaya Malaysia. Minat Azah yang sangat mendalam terhadap pantun menunjukkan beliau percaya bahawa tradisi yang tidak ketara sama pentingnya dengan yang ketara. Bagi Azah, segala tradisi dan amalan ini bukan sekadar serpihan masa lalu, tetapi luahan hati jati diri bersama yang boleh terus mekar pada hari ini.

Ibu Azizah Jaafar—bekerja di mejanya merupakan sumber ilham utamanya.

Berlayar kapal bertimbang arus,
Patah kemudi sepanjang pantai;
Tuan laksana cindai yang halus,
Alah membeli menang dipakai.

Berlayar kapal bertimbang arus,
Patah kemudi sepanjang pantai;
Tuan laksana cindai yang halus,
Alah membeli menang dipakai.

Potret Azah Aziz.

Penulisan-penulisan beliau untuk pembaca kanak-kanak juga tidak kurang pentingnya. Azah pandai menyuntik nilai-nilai yang dekat dengan pembaca muda melalui kisah-kisah yang penuh dengan pantun dan dongeng Melayu. Bagi beliau, warisan bukan sekadar perlu diingati, tetapi diamal dan diperturunkan dari generasi ke generasi.

Azah Aziz bukan hanya seorang pencatit budaya; beliau adalah pembela budaya. Baginya, kewartawanan bukanlah semata-mata kerjaya, tetapi suatu seruan ke arah perubahan, dengan menggunakan pena yang lemah lembut, tetapi berani menyiat-yiat ketidakpesonaan. Minat beliau terhadap busana Melayu tidak semata-mata bersifat kesarjanaan; tetapi suatu bukti kesetiaan dalam memelihara keindahan dan makna untuk generasi akan datang. Pusaka Azah terus hidup dan diperturunkan kepada mereka yang menyahut seruan beliau untuk menjenguk masa lalu sambil membina masa depan.

Azah tidak hanya meninggalkan kita dengan tulisan-tulisan dan artifak-artifak, tetapi juga semangat ingin tahu, keteguhan, dan rasa bangga terhadap warisan. Kisah yang beliau tawarkan ini menyeru kita untuk melihat lebih jauh ke dalam, meraikan pusaka kita, dan menyulam benang kita sendiri pada lembaran kebudayaan Malaysia yang tidak akan pernah hilang.

Kain baldu kain Makassar,
Halus tidak dapat ditenun;
Laut madu sungai bersakar,
Haus tidak dapat diminum.

Kain telepuk berhias kencana,
Perada terbang nipis melayang;
Acuan kayu berukir bunga,
Seni Melayu zaman gemilang.